|
FAC News -
Wednesday, August 7, 2002 2:35 PM
Kenyataan
Mohamad Ezam Mohd Nor Di
Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas dijatuhkan hukuman di bawah
Akta Rahsia Rasmi (OSA)
Yang
Arif,
Beberapa
tahun lalu, saya dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri
Kewangan Malaysia. Dalam usia belum mencecah 30, saya menjadi setiausaha
politik termuda ketika itu. Saya dipilih oleh Menteri Kewangan manakala
perlantikan dibuat oleh Perdana Menteri. Majlis angkat sumpah jawatan
diadakan di hadapan Perdana Menteri dengan disaksikan oleh Ketua
Setiausaha Negara. Tentunya saya merasa bertuah diberi peluang berkhidmat
dalam kerajaan di kedudukan yang cukup penting dalam usia yang semuda
itu. Seorang Setiausaha Politik dikehendaki hadir mesyuarat pasca
– kabinet (post-cabinet). Mesyuarat ini dipengerusikan oleh menteri
dan dihadiri oleh semua pegawai tertinggi di kementerian tersebut.
Ianya merupakan mesyuarat terpenting selepas mesyuarat kabinet dan
diadakan sebaik selepas mesyuarat kabinet setiap Rabu.
Pada
penghujung tahun 1997, ekonomi mula merudum. Saban minggu mesyuarat
pasca kabinet menjadi medan pertarungan. Antara
mempertahan amanah dan memunggah khazanah. Menteri Kewangan dan
pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang masih setia dengan amanah rakyat
berhempas pulas menepis tekanan Perdana Menteri dan kroni mahu dipunggah
khazanah negara untuk menyelamat syarikat milik kerabat dan kroni.
Kepentingan pemilik utama Perwaja, MAS, Renong, Projek Bakun, Projek
Monorel, Syarikat Perkapalan kesemuanya mesti diselamatkan. Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP),
Petronas, Lembaga Tabung Haji (LTH), Lembaga Tabung Angkatan Tentera
(LTAT) adalah sumber dana awam yang menjadi mangsa.
Kesemua
kita tahu kesudahan pertarungan ini. Menteri yang mempertahankan
kepentingan rakyat dipecat. Saya lebih memahaminya kerana seminggu
sebelum dipecat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah memberitahu saya
“Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Saya dilihat sebagai
penghalang. Mereka mahu saya keluar dari kerajaan. Saya tidak boleh
kompromi”. Peristiwa ini cukup signifikan bukan sahaja kepada diri
saya tetapi juga kepada kelangsungan negara. Saya ditakdirkan berada
di satu kedudukan untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku. Ianya
bukan perhitungan peribadi. Ianya adalah pertarungan antara ketelusan
dan penyelewengan, amanah dan rasuah.
Di
situ tekad saya bermula. Bertolak dari dhamir (conscience) yang
jelas untuk berjuang menentang rasuah dan penyelewengan yang berlaku
di depan mata. Di sini saya berdiri hari ini untuk terus mempertahan
tekad dan keyakinan saya. Tekad untuk terus berjuang, meminjam kata-kata
seorang sasterawan negara “Berjuang dalam satu era keras dan panas
bagi menyanjungi amanah dan ketakhalobaan”.
Yang
Arif,
Dengan tekad
dan keyakinan tersebut, saya berjuang dengan menyertai sebuah parti
yang berdaftar secara sah, Parti Keadilan Nasional keADILan. Saya
menggunakan segala ruang yang dibenarkan oleh perlembagaan untuk
menyatakan yang haq (benar) kepada rakyat. Melalui ceramah-ceramah
politik saya mendedahkan secara khusus penyelewengan yang berlaku,
bagaimana wang rakyat dan dana awam diguna untuk menyelamat kerabat
dan kroni yang sedang nazak. Rakyat berhak tahu kerana ini persoalan
hak dan masa depan mereka. Sudah tentu media perdana negara tidak
menyiarkan pendedahan saya. Sebaliknya pula serangan dibuat terhadap
saya. Saya digelar penderhaka, pengkhianat, pengganas, penghasut!
Matlamat
mereka ialah untuk memburukkan imej saya dan menghancurkan kredibiliti
pendedahan saya. Mereka gagal. Semakin ramai rakyat hadir mendengar
penjelasan saya. Justeru ceramah disekat. Segala ruang untuk menyampai
maklumat dinafikan. Perjumpaan di dalam rumah pun diganggu oleh
polis. Kononnya kerana kami memfitnah dan memecah-belahkan rakyat.
Kalau itu alasannya mengapa tidak diambil tindakan undang-undang
atas dakwaan fitnah? Tidak sukar untuk menyaman dan mendakwa saya
kerana pendedahan saya spesifik dan khusus – menyebut nama projek,
nama syarikat, nama kroni, nama kerabat, nama dana dan jumlah wang
rakyat yang disamun.
Saya
tetap mengikut saluran undang-undang dan perlembagaan. Saya membuat
laporan polis supaya siasatan rapi boleh dilakukan terhadap dakwaan
penyelewengan tersebut. Saya hadir di balai polis bila dipanggil
untuk memberi keterangan. Ada kalanya memakan
masa berjam-jam. Saya tetap akur dan gigih memberi kerjasama. Tetapi
saya ditipu. Keterangan hanya diambil dari saya. Polis tidak pernah
mengambil keterangan daripada individu yang disabitkan di dalam
laporan polis saya kerana mereka adalah Perdana Menteri, Timbalan
Perdana Menteri, Menteri-menteri serta kerabat dan kroni mereka.
Lebih malang lagi apabila tindakan saya membuat laporan polis menyebabkan
saya dilihat sebagai musuh negara. Saya bukan musuh negara. Saya
musuh kepada pemimpin-pemimpin negara yang rasuah dan menyeleweng.
Akibatnya saya yang ditahan. Tuduhan direka agar saya ditahan berkali-kali
di lokap balai polis dan akhirnya di bawah Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA). Kononnya kerana mengancam keselamatan negara. Sebenarnya
saya ditahan hanya untuk mempastikan saya tidak tampil lagi ke balai
polis untuk membuat laporan polis. Laporan polis yang akan mengancam
kedudukan pemimpin rasuah bukannya keselamatan negara!
Di
bawah peruntukan Akta Rahsia Rasmi (OSA) ini ada dinyatakan kewajiban
menyerahkan kepada polis sebarang dokumen rahsia yang diperolehi.
Dalam ertikata lain, untuk tidak dihukum saya sepatutnya menyerahkan
dokumen yang saya perolehi ini kepada polis. Persoalannya, polis
yang bagaimana? Polis yang setia kepada negara dan menjunjung prinsip
keadilan atau polis yang setia kepada penguasa rasuah dan sanggup
menjadi alat dan perkakas mereka?
Puluhan
laporan polis membabitkan penguasa yang rasuah pernah saya buat
bersama rakan-rakan lain. Kesemuanya lenyap begitu sahaja. Ada laporan
polis seperti kes kenyataan bekas Ketua Pengarah BPR, Dato’ Shafie
Yahya terhadap Perdana Menteri dilaporkan oleh ribuan rakyat Malaysia
di seluruh balai polis utama setiap negeri. Tiada tindakan diambil.
Sebaliknya apabila satu laporan polis dibuat terhadap saya, tindakan
serta- merta diambil. Pernah laporan polis dibuat oleh Pemuda Umno
terhadap saya dan dalam tempoh kurang 2 jam polis telah menyerbu
dan menggeledah rumah saya di hadapan anak-anak saya tanpa saya
di rumah. Hari yang sama saya ditahan, disumbat di lokap pada malam
saya seharusnya berada bersama keluarga dan umat Islam lain melafazkan
takbir menyambut Eidul Adha keesokan harinya. Apakah masih belum
cukup alasan untuk saya meragui kewibawaan polis?
Mahkamah
hari ini juga membuktikan hakikat bagaimana polis diperalat untuk
melindungi penguasa rasuah. Pada 9 Julai 1999, satu laporan polis
telah dibuat terhadap pemimpin kerajaan yang sama, Dato’ Seri Rafidah
Aziz dan beberapa menteri kabinet lain. Laporan polis tersebut dibuat
oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri dan
Menteri Kewangan. Sebahagian daripada asas laporan polis beliau
merujuk kepada kandungan dokumen yang sama yang menjad asas kes
hari ini. Persoalannya mengapa sehingga ke hari ini tiada siasatan
dibuat terhadap laporan polis tersebut? Laporan polis terhadap saya
dibuat oleh seorang pegawai polis 4 bulan selepas laporan polis
dibuat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Kes terhadap saya
selesai hari ini manakala kes yang membabitkan laporan polis terhadap
pemimpin kerajaan masih belum bermula!
Baru-baru
ini Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Jamil Johari membuat kenyataan
memberi jaminan setiap laporan polis akan mula disiasat dalam tempoh
7 hari selepas laporan polis dibuat. Dalam kenyataan yang sama beliau
juga memperakukan hak pelapor untuk dimaklumkan dari masa ke semasa
perkembangan siasatan. Saya cadangkan kepada beliau, untuk mengelakkan
beliau dilihat sebagai seorang penipu besar beliau seharusnya membuat
sedikit perubahan kepada kenyataan tersebut. Beliau seharusnya berkata,
“kenyataan tersebut hanya membabitkan laporan polis yang tidak melibatkan
pemimpin-pemimpin kerajaan seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana
Menteri, menteri-menteri Kabinet serta kerabat dan kroni mereka.
Sebagai alat dan perkakas kepada penguasa-penguasa rasuah sudah
tentu polis tidak akan melayan laporan polis yang dibuat terhadap
salah laku rasuah dan penyelewengan mereka!” Seorang Menteri Kabinet,
Dato’ Rais Yatim juga membuat kenyataan untuk cuba mengurangkan
kerosakan (damage control). Beliau menggesa siasatan dibuat dengan
segera tanpa pilih bulu setelah laporan polis dibuat. Beliau juga
pernah mengumumkan penubuhan sebuah unit di kementeriannya untuk
memantau laporan-laporan polis yang memakan masa lama untuk disiasat.
Ia hanya berakhir sebagai satu kenyataan akhbar. Tiada satu tindakan
pun yang diambil selepas itu. Seharusnya beliau meletakkan jawatan
samada kerana berbohong atau pun menjadi seorang menteri yang gagal
menterjemah kenyataan kepada tindakan.
Yang
Arif,
Hari
ini saya dijatuhkan hukuman. Mahkamah ini menjadikan saya seorang
pesalah, seorang penjenayah. Sekiranya mendedahkan salah laku rasuah
dan salah guna kuasa pemimpin kerajaan menjadikan saya seorang penjenayah,
saya rela untuk seribu kali lagi dihukum dan digelar penjenayah.
Saya hanya melaksanakan tanggungjawab moral saya. Rasa tanggungjawab
yang lahir dari dhamir (conscience) yang benci dan jijik melihat
perlakuan rasuah. Apatah lagi bila melihat perlakuan rasuah itu
dilakukan tanpa rasa takut. Saya melihat dan membaca laporan BPR
tersebut dan saya merasa jijik. Malangnya tidak ramai yang sempat
membacanya. Di dalam sidang mahkamah ini, hanya pihak polis yang
menyiasat bersama pihak pendakwa dan peguambela dibenarkan menatap
laporan itu selain daripada Yang Arif sendiri. Apakah mereka tidak
merasa jijik? Saya percaya setiap jiwa yang masih ‘hidup’ akan merasa
jijik.
Tentunya
kita merasa jijik membaca laporan siasatan terhadap seorang menteri
yang mempengerusikan mesyuarat dan meluluskan peruntukan berjuta
saham kepada menantunya sendiri. Lebih menjijikkan bila membaca
pengakuan menteri itu bahawa beliau terus mempengerusikan mesyuarat
itu walaupun sedar ianya merupakan satu kesalahan kerana diarah
oleh Perdana Menteri. Perdana Menteri arahkan beliau pastikan anak
beliau (Perdana Menteri) juga diberikan peruntukan saham dalam mesyuarat
yang sama. Terlalu jijik untuk kita mempercayainya sebagai satu
dokumen yang benar. Tetapi sesungguhnya ia merupakan satu kisah
benar. Proses mahkamah ini membuktikan bahawa dokumen itu bukan
dokumen palsu. Dokumen-dokumen itu adalah laporan siasatan BPR yang
telah diperakukan oleh Peguam Negara dalam sidang mahkamah ini sebagai
dokumen yang benar. Laporan siasatan BPR itu menampilkan bukti dan
asas-asas yang kukuh mengenai perlakuan rasuah dan salah guna kuasa
dua pemimpin kerajaan. Dato’ Seri Rafidah Aziz dan Tan Sri Abdul
Rahim Tamby Chik. Dalam laporan itu BPR mencadangkan agar kedua-dua
pemimpin kerajaan ini didakwa di mahkamah. Bahagian Pendakwaan,
Jabatan Peguam Negara di dalam laporan yang sama turut menyokong
dan memperakukan cadangan BPR itu. Persoalannya, bagaimana seorang
individu yang telah disiasat dan dibuktikan oleh BPR dan Jabatan
Peguam Negara mempunyai asas kukuh untuk didakwa masih terus lepas
bebas? Bagaimana individu ini bukan sahaja bebas tetapi masih menjadi
menteri? Bagaimana menteri ini boleh terus menjadi menteri di kementerian
yang sama dan meluluskan peruntukan berjuta-juta saham kepada menantu
beliau berkali-kali selepas itu?
Kisah
begini hanya boleh berlaku di dalam sebuah negara yang rosak (a
rotten state). Yang mendedahkan salah laku rasuah dipenjarakan manakala
si perasuah terus lepas bebas, kekal menteri dan terus melakukannya
berkali-kali lagi! Seharusnya kita mengambil iktibar daripada peristiwa
beberapa tahun lalu. Bagaimana seorang Timbalan Perdana Menteri
yang bersungguh-sungguh mahu memecahkan rantaian yang melindungi
penguasa rasuah dan membentangkan sendiri pindaan akta rasuah di
Parlimen akhirnya dipecat dan merengkok di penjara. Seharusnya kita
sedia maklum di negara ini yang akan ke penjara ialah orang yang
melawan rasuah manakala si perasuah akan terus lepas bebas dengan
syarat beliau seorang pemimpin politik parti pemerintah dan cekap
membodek dan mengampu. Oleh yang demikian, kita tidak seharusnya
merasa terlalu hairan menerima keputusan hari ini.
Yang
Arif,
Saya tidak
berminat mempertikai keputusan mahkamah ini. Sejak awal lagi saya
sedar pertarungan saya bukan di ruang ini. Jantung dan nadi kes
ini bukan di sini. Saya berjuang di medan yang lebih luas. Saya
berjuang menentang penguasa yang rasuah. Saya menentang mereka yang
menggunakan kuasa untuk melakukan rasuah dan menggubal undang-undang
untuk melindungi perbuatan rasuah mereka. Mahkamah ini sendiri tidak
punya banyak pilihan. Undang-undang telah digubal untuk menyempitkan
ruang agar usaha mencari kebenaran di mahkamah terbatas. Akta Rahsia
Rasmi (OSA) yang digubal di Parlimen oleh penguasa-penguasa rasuah
ini digunakan untuk melindungi penyelewengan mereka. Atas nama ‘keselamatan
negara’ mereka menutup segala ruang bagi maklumat rasuah mereka
diketahui umum. Mereka berlindung di sebalik perkataan RAHSIA BESAR,
RAHSIA, SULIT dan TERHAD untuk menggerunkan jiwa setiap pegawai
dan kakitangan pentadbiran negara yang terpaksa berdepan dengan
perangai jijik mereka. Media sebagai institusi masyarakat terpenting
di dalam menghubungkan maklumat antara negara dan rakyat menerusi
wartawan-wartawan sentiasa dihantui dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA)
ini. Kita dapat melihat dengan jelas dilema mereka melalui kenyataan
wartawan yang tampil menjadi saksi di dalam kes ini. Pada tahun
1986 akta ini digubal lagi untuk menguatkan lagi cengkaman pemerintah
dengan hukuman mandatori penjara menanti sesiapa yang cuba menjadi
berani.
Institusi
mahkamah sendiri tidak berdaya untuk berbuat apa-apa selain menghukum
sesiapa yang ditangkap menyebar kertas yang dicop RAHSIA. Isi kertas
tidak relevan. Yang penting ialah perkataan RAHSIA di atas kertas
tersebut. Justeru, tiada beza antara kertas tandas dan kertas maklumat
rasuah kerana yang penting hanyalah cop RAHSIA. Saya bukan menghina
mahkamah. Yang menghina mahkamah ialah penguasa-penguasa rasuah
yang membataskan kuasa mahkamah. Mereka menggubal undang-undang
bukan untuk memberi kuasa kepada mahkamah tetapi hanya untuk mempastikan
mereka terus berkuasa. Pastikan peruntukan akta yang ada cukup untuk
menutup maklumat sampai kepada rakyat. Lincoln pernah berkata, “Let
the people know the facts and the country will be safe. If given
the truth, they can be depended on to meet any national crisis”
(Biar rakyat tahu fakta yang benar dan negara akan selamat. Sekiranya
diberi fakta yang benar, mereka boleh diharapkan untuk menghadapi
apa jua krisis negara)’. Lincoln seorang pemimpin yang mendakwa,
“I’m a firm believer in the people”. (Saya seorang yang berkeyakinan
penuh kepada rakyat). Tentu jauh untuk kita mengharapkan semangat
yang sama di negara ini kerana di sini pemimpinnya asyik menyalahkan
rakyat. Rakyat punca masalah – tidak boleh dipercaya, mudah percaya
fitnah, malas, mudah lupa, bodoh, taksub, ekstremis dan haprak.
Walaupun hakikatnya yang menjahanamkan negara ini bukan rakyat tetapi
pemimpin yang rasuah dan menyeleweng kerana berlumba-lumba mengejar
kemewahan tanpa batas.
Pemimpin-pemimpin
rasuah ini langsung tidak mempunyai kekuatan moral untuk menggubal
akta yang mampu mempertahan prinsip keadilan dan kebenaran. Di
Parlimen Britain, sebuah akta diberi nama ‘Public Interest Disclosure
Act’ digubal dengan semangat ‘to encourage people to blow the whistle
about malpractice and to ensure the authority respond by acting
on the message rather than against the messenger’ (untuk menggalakkan
rakyat mendedahkan penyelewengan dan mempastikan pihak berkuasa
bertindak ke atas isu yang dibawa bukan si pembawa isu). Akta seperti
ini tidak digubal di Parlimen Malaysia kerana tidak ada keazaman
politik (political will) untuk mempertahankan kebenaran atas prinsip
keadilan dan pertanggungjawaban.
Tan
Sri Harun Hashim, bekas Ketua Pengarah dan pengasas BPR menyatakan
bahawa “Corruption can only be prevented, even eradicated to a large
extent, if there is political will” (Rasuah hanya dapat dielakkan
malah dihapuskan sekiranya ada keazaman politik). Dalam sebuah ucapan
di suatu majlis anjuran MIM (Malaysia Institute of Management) beliau
menyatakan, “In 1967, when I was appointed to establish the ACA,
the PM Tunku Abdul Rahman, gave me a free hand to prevent corruption
from spreading in the country. I was allowed to choose and pick
officers for the agency from the public service and the police,
and unlimited funds from the treasury. There was no interference
from the government in the workings of the agency. Even the Attorney-General
was not allowed to interfere with prosecutions of corruption cases.
As it is now, under the new corruption law, the Director General
has no legal power”. (Pada tahun 1967, apabila saya dilantik untuk
menubuhkan BPR, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman memberi saya
sepenuh kebebasan untuk membendung rasuah daripada berleluasa di
negara. Saya dibenarkan untuk memilih pegawai untuk badan ini daripada
kalangan anggota pentadbiran dan polis, bersama peruntukan yang
tidak terhad daripada Kementerian Kewangan. Tidak ada campurtangan
daripada kerajaan di dalam urusan BPR. Peguam Negara sendiri pun
tidak dibenarkan campurtangan dalam urusan pendakwaan kes-kes rasuah.
Tapi dengan undang-undang baru rasuah hari ini, Ketua Pengarah BPR
tiada langsung kuasa undang-undang).
Beliau
akhirnya mengungkap, “The eradication of corruption in the public
and private sectors should be everybody’ s concern. The corrupt
should be looked upon as enemies of the public. We do not want corruption
to be a way of life. The ACA should be independent, reporting directly
to the Parliament”. (Usaha membanteras rasuah di dalam perkhidmatan
awam dan swasta harus menjadi tanggungjawab semua. Perasuah harus
dilihat sebagai musuh rakyat. Kita tidak mahu rasuah menjadi amalan
hidup. BPR mesti bebas dan melapor terus kepada parlimen).
Yang
Arif,
Hukuman
ke atas saya hari membuktikan hakikat tersebut. Dokumen yang menjadi
asas kepada hukuman saya hari ini membuktikan bahawa kebimbangan
pengasas BPR tersebut berasas. BPR hari ini bukan sahaja tidak bebas
malah diikat dan kuasa habis dicabut. Dokumen yang saya edarkan
dan ditangkap kerananya bertajuk Laporan Siasatan BPR ke atas Datuk
Seri Rafidah Aziz dan Tan Sri Abd Rahim Tamby Chik. Sesiapa yang
meneliti kandungan laporan ini pasti dapat melihat betapa gigihnya
pegawai-pegawai BPR menyiasat salah laku rasuah yang membabitkan
dua pemimpin kerajaan ini. Bukti yang ditampilkan kukuh. Maklumat
khusus termasuk beberapa akaun bank milik mereka bernilai jutaan
ringgit ditampilkan. Maklumat khusus berjuta saham yang diperuntukkan
dan pemilikan harta peribadi bernilai jutaan ringgit juga disenaraikan
dengan terperinci. Bagaimana pun ianya tidak membawa apa-apa makna
kerana keputusan akhir terletak di tangan Perdana Menteri. Laporan
siasatan BPR menjadi komoditi untuk dinilai sebagai tukaran kesetiaan
politik. Kalau kamu setia, pendakwaan tidak akan berlaku. Bukan
sekadar itu, dia dijamin selamat. Kertas laporan siasatan akan dicop
RAHSIA agar tiada siapa tahu. Inilah yang menjadi asas kepada budaya
impuniti – kebal dari tindakan undang-undang - di kalangan elit
politik negara ini. Sebab itulah mereka melakukan rasuah dan penyelewengan
tanpa batas dan tanpa rasa takut. Saya berani menyatakan di sini
hampir kesemua menteri kabinet di negara ini mempunyai asas untuk
didakwa atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa. Saya mengambil
tanggungjawab penuh berhubung dakwaan ini dengan syarat BPR diberikan
kebebasan untuk menyiasat dan mengemukakan laporan siasatan kepada
umum. Jangan gunakan cop RAHSIA di atas semua laporan siasatan tersebut.
Baru-baru
ini seorang lagi bekas Ketua Pengarah BPR membuat kenyataan memperkukuh
kewujudan budaya impuniti yang berleluasa. Sebagai seorang saksi
dalam kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Shafie Yahya menyatakan
kepada Mahkamah Tinggi bagaimana Perdana Menteri menghalang beliau
meneruskan siasatan kes rasuah yang membabitkan seorang pegawai
tinggi kerajaan. Kenyataan ini amat penting kerana ianya daripada
seorang Bekas Ketua Pengarah BPR sendiri dan membabitkan secara
langsung Perdana Menteri. Kenyataan ini pula dibuat di Mahkamah
Tinggi. Seluruh negara seharusnya bersedih dengan kenyataan ini.
BPR sebuah badan terpenting dalam membanteras rasuah, penyakit paling
bahaya bagi sesebuah masyarakat dan negara, telah dicabut segala
kuasa untuk bertindak dengan berkesan dan adil. Episod perbicaraan
ke atas saya ini hanya memperkukuhkan hakikat tersebut.
Usaha
yang bersungguh-sungguh harus dilakukan untuk membendung masalah
rasuah dari terus berleluasa. Penguasa yang bergelumang dengan rasuah
tidak akan mampu untuk melakukan bentuk perubahan atau reformasi
yang diperlukan. Penguasa seperti ini pernah digambarkan oleh Ibn
Khaldun sebagai "penguasa yang terlalu asyik dan berkeinginan
hidup mewah”. Mereka hanya sekadar berpura-pura menangis di perhimpunan
parti mereka. Sebenarnya sebagai parti pemerintah mereka mampu untuk
menangani masalah rasuah tanpa perlu menangis di khalayak ramai
sekiranya mereka benar-benar punya keazaman politik (political will).
Dua tahun lalu,
di negara jiran, Thailand, kita menyaksikan bagaimana parti pemerintah
yang mempunyai political will melakukan reformasi membanteras rasuah.
Parti Demokrat yang memerintah ketika itu melakukan reformasi sehingga
tertubuhnya sebuah badan pencegah rasuah (National Counter-Corruption
Comission) yang diberi kuasa penuh untuk bertindak ke atas perasuah.
Dunia menyaksikan bagaimana Setiausaha Agung parti pemerintah itu
sendiri disiasat dan dihukum. Keadaannya berbeza di Malaysia. Setiausaha
Agung Umno, parti pemerintah di Malaysia kebal dari tuduhan rasuah.
Sudah lebih setahun laporan polis dibuat terhadapnya oleh seorang
ahli Dewan Undangan Negeri membabitkan salah laku rasuah bernilai
lebih 2 ribu juta ringgit khazanah negeri (kayu balak) semasa beliau
menjadi Menteri Besar Pahang. Tiada berita samada siasatan polis
sudah bermula atau berakhir. Beliau masih terus menjadi menteri
dan setiausaha agung parti. Malah baru-baru ini beliau yang mengumumkan
proses peralihan kuasa di negara ini dan pengganti Perdana Menteri.
Apakah kita masih belum faham jenis apa negara kita hari ini?
Yang
Arif,
Biar
saya tegaskan di sini, walau apa pun hukuman yang dijatuhkan terhadap
saya ianya tidak akan merubah pendirian dan keyakinan saya. Saya
dihukum hari ini bukan kerana membocorkan rahsia yang menggugat
keselamatan negara. Saya bukan perosak negara. Saya ingin menyelamatkan
negara. Saya bertindak di atas pendirian dan keyakinan saya bahawa
rasuah dan penyelewengan kuasa adalah asas kepada keruntuhan negara.
Saya bertindak dengan dhamir (conscience) yang jelas melihat kerakusan
penguasa kepada harta. Saya menjunjung perintah Allah dalam surah
Al-Hasyr, Ayat 7:
Supaya
harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja
di antara kalian.
Sejarah bangsa
dalam karya agung Sejarah Melayu atau Sulalat-al-Salatin banyak
memberi pengajaran. Terlalu banyak kisah di dalamnya mengenai hilangnya
pertimbangan moral penguasa akibat pengaruh wang dan kemewahan sehingga
diungkap perkataan ‘hilangnya budi akal kerana harta’. Wang Ann
Shih, tokoh perubahan dan falsafah Cina mengungkapnya sebagai ‘sifat
manusia durjana dan undang-undang yang lemah’. Tentu ramai yang
pernah mendengar bila Ghandi mengungkap bagaimana sifat tamak haloba
yang menyempitkan dunia yang luas.
Di
dalam kesunyian terasing di Kem Tahanan Kamunting, buku menjadi
teman rapat saya termasuk sebuah novel karya Hamka bertajuk ‘Tuan
Direktur’. Kisah tamak haloba penguasa dan kroninya. Yang lebih
menyentuh dhamir saya ialah sebuah hadis Rasulullah s.a.w riwayat
Tarmizi yang terpampang di muka depan novel. “Sesungguhnya setiap
umat ditimpa oleh cubaan dan cubaan bagi umatku ialah harta”.
Hari
ini saya telah melaksanakan tanggungjawab moral saya. Sebagai seorang
pemimpin politik yang kerdil, saya hanya melaksanakan tanggungjawab
kepada rakyat dan negara. Sebagai seorang hamba Allah,. saya melaksanakan
tanggungjawab ini atas tuntutannya. Islam melihat kebebasan bersuara
– hurriyyat al-bayan atau hurriyyat al-mu’aradah bukan sahaja persoalan
hak individu tetapi kewajipan yang wajib dilaksanakan demi menegakkan
kebenaran. Saya yakin kepada kekuatan kebenaran. Saya tidak ragu
sedikit pun bahawa kebenaran akan tertegak dan sejarah akan membuktikan
saya benar.
Saya juga yakin
apa yang berlaku hari ini akan memperkukuh iltizam teman-teman khususnya
anak-anak muda, generasi baru negara ini untuk terus berjuang berasaskan
dhamir mereka untuk menentang rasuah dan penyelewengan dari terus
berleluasa di negara ini. Generasi muda mesti pastikan budaya impuniti
di kalangan elit politik ini dihapuskan di zaman mereka. Kita sebenarnya
tidak punya banyak pilihan. Dalam era globalisasi budaya impuniti
ini akan menghancurkan negara jika tidak dihapuskan sekarang.
Yang
Arif,
Sudah
lebih setahun saya di penjara. Saya faham makna penjara. Saya tahu
kesengsarannya terutama kepada keluarga dan anak-anak saya yang
masih kecil. Derita mereka bukan kepalang. Saya hanya mampu berdoa
bila mereka besar nanti mereka akan faham makna pengorbanan ini.Mengapa
saya tetap teguh mempertahan keyakinan saya. Mengapa saya tidak
serik-serik. Mengapa saya terus berjuang dan berjuang. Dari mahkamah
ke mahkamah, dari lokap ke lokap, dari penjara ke penjara. Ianya
adalah untuk masa depan mereka, anak-anak saya dan juga anak-anak
tuan-tuan.
Rasulullah
s.a.w pernah bersabda:
“Akan
selalu ada dalam umatku, orang yang berpegang teguh pada kebenaran,
mereka tidak merasa berat dengan gangguan yang datang pada mereka.
Demikian hingga perintah Allah datang."
(Hadith
Riwayat Muslim/Bukhari)
Semoga
kita termasuk di dalam golongan tersebut.
Sekian.
7
Ogos 2002
Mahkamah
Sesyen
Petaling
Jaya, Selangor
|