|
Thursday, 19-Feb-2004 4:53 PM
Ketua Pengarah Penjara Sungai
Buloh
(U/P: Tuan Haji Hassan Bin Haji Sakimon)
Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia
(U/P:Tuan Mohd Noor)
Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan
Tuan,
PER: BSB 436/99 HL DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
Kami merujuk kepada perkara di atas yang mana berkaitan anak
guam kami, Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim.
Dengan segala hormatnya, dimaklumkan bahawa En Nair dan Tuan
Haji Sulaiman Abdullah telah melawat Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim
di Penjara Sungai Buloh pada 18.2.2004.
Untuk makluman pihak Tuan, kami dapati bahawa beliau berada dalam keadaan sakit
yang tenat dan beliau mengadu kepada kami bahawa beliau telah meminta
Dr. Jeyaindran Sinnadurai untuk memeriksa beliau, akan tetapi apabila
Pembantu Perubatan Hospital (Hospital Assistant) pergi berjumpa
dengan Dr. Jeyaindran di Hospital Kuala Lumpur, beliau hanya memberikan
arahan bagi mendapatkan pil yang disyorkan oleh beliau tanpa mengambil
sebarang inisiatif untuk memeriksa Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim
di Penjara Sungai Buloh.
Oleh yang demikian, kami ingin membuat aduan rasmi ini terhadap
Dr. Jeyaindran Sinnadurai dan menggesa supaya anak guam kami diperiksa
dan diberikan rawatan yang sepatutnya dengan segera. Kegagalan pihak-pihak
yang berwajib berbuat demikian, akan memberikan alasan yang kukuh
kepada kami untuk mendapatkan perintah Mahkamah yang mana dalam
banyak keadaan akan memburukkan lagi imej pihak-pihak yang terlibat
terutamanya pihak Penjara dan Kementerian Kesihatan.
Justeru itu, kami ingin mengesa pihak Tuan untuk mengambil
berat perkara ini dan tindakan segera hendaklah diambil serta rawatan
yang sewajarnya hendaklah diberikan selaras dengan rawatan perubatan
yang professional dan juga dengan Peraturan-Peraturan Penjara.
Segala tindakan serta kerjasama segera yang diambil amatlah
kami hargai.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
S.N. NAIR & PARTNERS
|