|

Thursday, 16-Oct-2003 7:35 AM
YAA
Tan Sri Ahmad Fairuz Abdul Halim
Ketua
Hakim Negara
Kuala
Lumpur
11
Oktober 03 / 15 Sya’ban 24
Melalui
Pengarah Penjara
Sungai Buloh, Selangor
Assalamualaikum.....
Dengan hormat dan ta’azim, dipohon pertimbangan
dan kerjasama YAA Tan Sri untuk meneliti dengan adil dan saksama
permasalahan yang dibangkitkan dalam warkah ini. Saya mengambil
keputusan merujuk terus kepad Tan Sri hanya setelah mengambil segala
ikhtiar yang munasabah. Ini termasuk permohonan ke Mahkamah melaui
prosedur bicara, mengemukakan notis rayuan, mengeluarkan kenyataan
terbuka dan berulang alik memohon tarikh pendengaran kes-kes dari
pihak pendaftar.
Isu
Ikat Jamin
Saya mulakan dengan isu permohonan ikat jamin yang tertangguh
selama empat bulan di Mahkamah Rayuan. Walaupun YA Hakim PS Gill
memaklumkan bahawa keputusan akan disegerakan. Agak aneh bagi isu
yang dikira mudah tetapi dirumitkan. Sejak awal Hakim-Hakim telah
menafikan hak saya mendapat ikat jamin. Kaedah biasa mengemukakan
permohonan lisan ditolak. Dan setelah permohonan bertulis dikemukakan
dengan alasan kukuh termasuk keadaan kesihatan saya, keputusan masih
tertangguh.
Tan Sri sendiri sedar suasana kelam kabut sidang Mahkamah
RAyuan berkenaan menakala Hakim-hakim YAA PS Gill, YA Richard Malanjun
dan YA Hashim Yusof gelabah, meluru keluar sidang dan menghilangkan
diri setelah memaklumkan Mahkamah terbuka bahawa mereka memerlukan
beberapa minit. Hanya setelah peguam-peguam dan Peguam Negara merujuk
ke kamar YAA sendiri maka mahkamah rayuan bersidang semula.
Tepat sekali telahan bekas Hakim Mahkamah Persekutan bahawa
isu semudah itu, yang biasanya diputuskan oleh seorang Majistret
dalam tempoh setengah jam tidak dapat dikendali dengan memuaskan
oleh Mahkamah Rayuan.
Dan kini, setelah meneliti penghakiman Mahkamah Rayuan yang
sebegitu lemah, dangkal, dan bercanggah dengan prinsip undang-undang,
maka hujah kami lebih kukuh untuk memperolehi hak ikat jamin. Pertimbangan
Tan Sri untuk memastikan pendengaran yang segera amat dihargai.
Ulangkaji
Keputusan Mahkamah Persekutuan
Kira-kira dua tahun yang lalu, saya telah mengemukakan permohonan
ulangkaji keputusan Mahkamah Persekutuan bersabit dengan pertuduhan
dan hukuman salah kes pertama (rasuah) terhadap saya menurut Seksyen
137 Peraturan Mahkamah Persekutuan.Awal tahun ini Tan Sri telah
bersetuju dengan permohonan Peguam Negara bagi menangguh sidang
untuk membolehkan korum Hakim ditambah menjadi tujuh orang kerana
menurut Peguam Negara kes ini manarik perhatian ramai. Peguam-peguam
saya menerima baik pendangan tersebut meskipun menyedari hal itu
tidak berbangkit sebelumnya ,dalam kesempatan tersebut juga , Tan
Sri telah memberi jaminan untuk menetapkan pendengarn pada bulan
Jun. Lebih empat purnama telah berlalu dan pihak kami masih menunggu.
Permohonan tersebut diperkukuh dengan keterangan baru, afidavit
dari Peguam Manjeet Singh Dillon menjelaskan muslihat kotor pendakwaraya,
Tan Sri Gani Patail dan Dato’Azhar Mohamad terlibat dalam usaha
khianat merekayasa keterangan untuk mensabitkan saya dalam salahlaku
seks.
Mahkamah Persekutuan sebelumnya dalam kes peguam saya, Zainur
Zakaria dituduh menghina Mahkamah oleh Hakim Augustine Paul telah
membebaskannya. Tetapi penghakiman tersebut memberi implikasi yang
luas kepada pertuduha terhadap saya kerana Mahkamah Persekutuan
mensabitkan kedua-dua Pendakwa Kanan dalam salahlaku dan menetapkan
bahawa Hakim Augustine Paul adalah tidak adil kerana “bertindak
lebih sebagai peguam, bagi pihak Pendakwa”
Keputusan tersebut memperlihatkan dakwaaan kami sejak awal
mengenai hakim Augustine Paul yang berat sebelah dan mulutnya lancang
dengan ugutan terhadap peguam yang menjalankan tugas mereka. Di
antara keputusan janggal beliau termasuk memansuhkan keterangan
tohmahan dan fitnah Pendakwa mengenaisalah laku seks tanpa memberikan
kesempatan kepada saya membela diri dan menjelaskannya. Padahal
sebelum itu Peguam Negara ketika itu Tan Sri Mokhtar Abdullah dengan
angkuh sekali menegaskan wujudnya bukti sahih dan kukuh dengan ujian
DNA dan katil yang diusung saban hari ke Mahkamah. Manakala mendapati
ujian DNA tercemar dan tiada bukti kukuh wujud, Hakim telah memilih
untuk menyelamatkan Pendakwa dengan mengarahkan semua rekod tersebut
dipadam. Walhasil tujuan mereka mengaibkan saya melalui media tercapai
sudah.
Saya mampu merumuskan ringkas kaedah pengendalian proses
perbicaran yang tempang, menafikan hak saksi dan menerima bulat
saksi pembela termasuk Dato’ Said Awang yang menyebut di antara
lain kesediaannya berbohong sekiranya diarah oleh orang atasan,
khususnya Perdana Menteri. Hakim sendiri pun terkena arahan sehingga
menjatuhkan hukuman berat dan kejam. Itulah julung-julung kalinya
waktu tahanan reman dipenjara selama tujuh bulan tidak dikira sebagai
tempoh saya dipenjara.
Dan berbeza dari kepantasan Hakim Augustine Paul mengugut
dan menghukum Peguam Zainur Zakaria beliau juga mengugut hampir
kesemua barisan Peguam Kanan saya termasuk YM Raja Aziz Addruse,
Aris Chris Fernando, Karpal Singh dan Gurbachan Singh. Tetapi manakala
kenyataan angkuh beliau menjadi keterlaluan dan mencela Aris Chris
Fernando, beliau didakwa menghina mahkamah. Walaubagaimanapun, perbicaraan
kes beliau sudah lama tertangguh.
Permohonan
Ulangkaji oleh Mahkamah Rayuan
Kami sekali lagi dikejutkan dengan penghakiman Mahkamah
Rayuan. Tidak terduga oleh kami bahawa Hakim-Hakim berkenaan sanggup
menipu dan memutarbelitkan kenyataan. Dokuken berupa surat notis
alibi dikemukakan oleh Peguam (Messis Badian and Kartar) kepada
pihak Pendakwa dan Hakim. Malah, dalam sidang Mahkamah Rayuan secara
terbuka perkara tersebut dibangkitkan, disahkan oleh Pendakwaraya
dan salinan diberikan kepada Pendaftar Mahkamah. Maka adalah mengaibkan
manakala Hakim-Hakim sanggup menafikan kewujudan dokumen yang terdapat
dalam rekod awam. Mereka tergamak memperakui kenyataan Hakim Ariffin
Jaka dan merumuskan bahawa saya tidak pernah mengemukakana notis
alibi menurut Sekyen 402A Kanun Prosedur Jenayah berkaitan dengan
pertuduhan ke atas beliau.
Adalah mustahil bagi Hakim-Hakim berkenaan terkeliru atau
tersalah tafsir. Adalah dikhuatiri, tindakan tersebut terpaksa mereka
laku untuk mengesahkan hukuman, kerana pengakuan akan wujudnya notis
alibi akan menyebabkan keputusan berubah untuk membebaskan saya.
Dan mungkin saja mereka tidka memperoleh mandat untuk berbuat demikian.
Ini merupakan kesilapan besar yang mencemar proses perbicaraan
dan menafikan hak saya sepertimana yang terjamin dalam peruntukan
Perlembagaan Negara (Artikel 51) yang menjamin kebebasan tertakluk
kepada undang-undang.
Bertitik tolak dari kesilapan besar dan asasi tersebut,
Hakim-Hakim telah berulang kali meluncurkan alasan dan tafsiran
dalam penghakiman yang cacat dan tercela dan menjejaskan pembelaan
saya. Justeru itu , saya akan mengemukakan tuntutan agar Mahkamah
Rayuan mendengar semula rayuan bagi memperbetulkan kesilapan dan
penipuan yang dilakukan. Manakala Hakim peringkat tertinggi berlaku
curang adalah mendesak sekali lagi Tan Sri m engambil tindakan meluruskannya
semula mengikut proses undang-undang dan pertimbangan keadilan.
Keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman yang terjejas perlu
dipulihkan. Lantaran itu, saya memohon agar Mahkamah Persekutuan
hanya menetapkan tarikh pendengaran rayuan setelah Mahkamah Rayuan
mendengar semula rayuan.
Rayuan
ke Mahkamah Persekutuan
Seandainya Mahkamah Persekutuan menimbnag dan memutuskan
untuk meneruskan pendengaran rayuan, maka izinkan saya perjelaskan
beberapa alasan rayuan seterusnya.
Mahkamah Persekutuan wajar memutuskan berdasarkan Peruntukan
402A untuk membolehkan saya mengemukakan notis alibi kerana pindaan
tarikh pertuduhan dari bulan Mei 1992 ke Januari hingga Mac 1993.
Ketetapan Hakim-Hakim sebelumnya bahawa notis alibi bagi tahun 1992
adalah memadai sungguh membinggungkan. Ia tidak memerlukan kepakaran
dalam undang-undang untuk memahami bahawa perbezaan waktu yang sedemikian
lama memerlukan keterangan berbeda, baik dari segi jadual saya atau
kedudukan bangunan yang dimaksudkan.
Bayangkan betapa cetek hujah Dato’Ariffin Jaka dan Hakim-hakim
Mahkamah Rayuan apabila mereka mengaitkan keputusan dalam kes Husin
bin Silit V Public Prosecutor 1988 sebagai alasan. Dalam kes tersebut,
perbedaan waktu hanyalah setengah jam, meminda pertuduhan ddari
8.30 malam ke 8 malam. Kedudukan bangunan dan jadual seseorang dalam
tempoh tersebut mungkin tidak berubah tetapi bagaimana dengan jarak
yang begitu lama?
Mahkamah Rayuan telah mengenepikan prinsip asas yang ditetapkan
oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Ku Lip See V Public Prosecutor
(1982) yang menetapkan dengan jelas prisnip perundangan tersebut.
Peguam saya telah membangkitkannya tetapi HAkin-hakim mengenepikan
dengan sewenang-wenangnya, mengorbankan prinsip keadilan dan menghina
Mahkamah Persekutuan.
Disebaliknya Mahkamah Rayuan telah menunjukkan pemikiran
yang celaru untuk menegakkan benang basah hingga terpaksa merujuk
kepada Mahkamah Persekutuan Kanada yang menolak keperluan notis
alibi, walhal peruntukan serupa dengan Seksyen 402A tidak wujud
di negara tersebut.
Hakim-Hakim memang memperaku notis alibi yang dikemukakan
oleh perayu kedua Sukma Darmawan. Maka sewajarnyalah, penangguhan
sepuluh hari sepertimana yang diperuntukkan undang-undang diberikan
kerana perbicaraan dikehendaki bersama. Sesungguhnya tidak ada dalih
atau alasan lagi untuk mempertahankan keputusan yang menyeleweng
dari landasan undang-undang.
Isu pertukaran tarikh telah banyak diperkatakan. Meskipun
perubahan tarikh dalam jangka waktu yang panjang, Hakim-Hakim memutuskan
secara mudah dengan mengaitkan bidang kuasa dan wewenang Peguam
Negara. Untuk mengukuh dakwaan saya bahawa kes ini melibatkan konspirasi
peringkat tertinggi, Azizan Abu Bakar memberikan keterangan bersumpah
bahawa tarikh dua pertuduhan telah dicadangkan oleh pihak polis
khususnya SAC Musa Hasan. Sebelumnya Azizan menegaskan tiga kali
di mahkamah bahawa beliau tidak pernah diliwat oleh saya. Kemudiaanya,
kenyataannya dipinda lagi hingga menyebabkan tarikh pertuduhan dipinda
dari 1994 ke tahun 1992.
Manakala kami kemukan butir alibi dan membuktikan bangunan
Tivoli Villa tersebut belum wujud, maka sekali lagi pertuduhan dipinda
ke tahun 1993, dengan tempoh jarak 3 bulan. Ini juga aneh jika ditinjau
tohmahan Dato’ Seri Dr Mahathir dan disokong kuat oleh Tan Sri Mohktar
Abdullah selaku Peguam Negara di Mahkamah. Jika benar tohmahan mereka
serta dakwaaan adanya bukti kukuh, mengapa gagal mengemukakannya
dan disebaliknya membuat pertuduhan samar? Bahkan dengan angkuh
sekali Tan Sri Mokhtar melalak mendakwa pihak beliau punyai semua
keterangan acara dan perjalanan saya dari tahun 1992-1998. Ini
ternyata dusta kerana hingga akhir perbicaraan, tidak ada sebarang
keterangan sedemikian yang dikemukakan.
Dengan segala keterbatasan yang ada dipenjara, saya telah
berusaha dengan Peguam-Peguam untuk memperolehi keterangan mengenai
acara dan perjalanan saya sepanjang tempoh pertuduhan dan menolak
kemungkinan kehadiran saya di tempat berkenaan seperti yang didakwa.
Sukma Darmawan pula mengemukakan bukti berdasarkan keterangan saksi,
dokumen dan resit yang menunjukkan pangsapuri berkaitan masih dalam
proses pengubahsuaian dan tidak lengkap seperti yang didakwa Azizan.
Semua usaha tersebut ternyata sia-sia belaka.
Hakim sudah seolah-olah mebuat keputusan, mencari helah untuk menghukum,
betapa pun lemah alasan dan bukti. Inilah yang menimbulkan
kecurigaan ramai mengenai penghakiman menurut skrip yang mengingatkan
saya kisah Alice in Wonderland.
“No! No! Sentence first-verdict afterwards”. Pokoknya hukum
saja dulu, fikirkan alasan kemudian!
Segala percanggahan Azizan termasuk pendakwaan dan hukuman
oleh Mahkamah Syariah atas tuduhan salahlaku seks tidak mengugat
keyakinan Hakim Ariffin Jaka terhadap kewibawaan dan kejujuran Azizan
dengan cara keterlaluan menegakkkan bahawa keterangan Azizan sebegitu
mantap sekukuh Batu Gibraltas. Hakim menyembunyi telahan beliau
sebelumnya dan menganggap saksi tersebut berdolak-dalik, “menyatakan
sesuatu hari ini dan lain pula esoknya”. Yang lebih menakjubkan
kerelaan Hakim-hakim Mahkamah Rayuan memperakui kenyataan lemah
tersebut yang sebenarnya adalah bagaikan pasir di persisiran pantai!
Gelagat hakim sedemikian membenarkan kekuatiran kami sejak
awal yang memohon Hakim mengundurkan diri dari mengendalikan kes
ini. Alasan ketika itu ialah bahawa Hakim mempunyai kepentingan
dan memperolehi keuntungan besar dari saham Syarikat Dataprep kepunyaan
Mirzan Mahathir, anak kepada Dato’ Seri Dr Mahathir terlibat dalam
konspirasi menentang saya yang menjurus kepada tindakan polis, Pendakwaraya
dan kini badan kehakiman. Hakim gagal memaklumkan kepentingan tersebut
sehingga Peguam mendedahkannya. Ini juga menyalahi seksyen 20 Akta
Penghakiman Mahkamah 1964 (AKta 91) yang mengkehendaki beliau melaporkan
kepada Hakim Besar (Malaya).
Kebimbangan tersebut terbukti benar manakala beliau memilih
untuk melindungi Dato’ Seri Dr Mahathir yang mengenepikan sapina
kerana enggan hazir sebagai saksi. Walhal beliau merupakan saksi
utama selaku orang yang mula melemparkan tuduhan terbuka dan dengan
itu menafikan hak saya memperolehi keterangan jelas. Ini juga menjejaskan
peluang mengaitkan peranan beliau dengan talian kepada Tun Daim
Zainuddin dan Dato’ Aziz Shamsuddin.
Hakim-hakim Mahkamah Rayuan juga telah cuai dan tersalah
arah kerana mengenepikan Seksyen 418A Kanun Prosedur Jenayah yang
menetapkan bahawa pertuduhan dalam satu perbicaraan yang berpindah
tidak boleh dipinda pada permulaan bicara di Mahkamah Tinggi.Malangnya,
Mahkamah Rayuan memandang enteng pindaan tersebut yang melibatkan
masa bertahun semata-mata kerana bersandarkan kes Hussin b Silit
V Pp (1998) yang melibatkan masa setengah jam sahaja. Telahan sebegini
dikira hujah seadanya, betapa pun rapuh, remeh dan dangkal.
Mahkamah Rayuan meremehkan tuduhan ke atas kedua pendakwa
kanan yang terlibat dalam perkara jenayah, memperolehi keterangan
palsu. Keputusan sebegini tercemar kerana mengingkari ketetapan
Mahkamah Persekutuan. Bahkan afidavit dan keterangan Peguam Manjeet
Singh Dillon ditolak sebagai “ pendapat dan rumusannya sendiri”.
Sekali lagi ini bertentangan dengan keterangan sahih anakguamnya
Nalakaruppan yang enggan berbohong dengan mencipta keterangan palsu
sepertimana di kehendaki Pendakwa. Mahkamah Rayuan memutarbelitkan
lagi dengan pandangan bahawa percubaan mengada-adakan nama perempuan
tidak berkaitan dengan kes ini. Adalah dikesalkan apabila Hakim-hakim
sengaja menyimpang dari persoalan utama yang diketengahkan yakni,
percubaan Pendakwa memperoleh keterangan palsu. Seolah-olah tercerna
muslihat dilindungi Pendakwa dalam kesalahan jenayah mereka merekayasa
keterangan dan ugutan mengenakan hukuman gantung ke atas Dato’Nala
sekiranya enggan berbuat demikian. Apabila pegawai polis atau Pendakwa
terlibat dalam kegiatan curang sedemikian, Hakim-hakim sewajarnya
prihatin dan bertindak menurut lunas undang-undang. Jika tidak siapa
lagi yang diharapkan untuk mengawal pengawal-pengawal sedemikian?
Quis
Custodiet ipsos Custodes?
Setelah meneliti penghakiman dan menyingkap peristiwa sejak
1998, maka lebih terserlah gambaran tentang perencanaan tindakan
dan hukuman ke atas saya. Hakim Augustine Paul dipilih khas untuk
mengendali kes saya, dengan mengenepikan Hakim Kanan lainnya. Inilah
julung-julung kalinya dalam perbicaraan jenayah di mana saksi-saksi
pembela diketepikan, keterangan dimansuhkan, ugutan menjadi senjata.
Kepetahan Hakim menjurus kepada ungkapan “tidak relevan”
menyebabkan ramai kalangan memberikan jolokan Mahkamah tidak relevan.
Inilah yang mendorong Peguam-peguam saya mengungkit isu malalfide,
niat buruk Hakim sejak awal lagi dan kemudian memohon supaya
beliau mengundur diri dari menjadi Hakim dalam kes tersebut.
Pendeta Kresten Augustine memberikan panduan audi partem
alteram , kesediaann mendengar pandangan pihak lain untuk menjamin
keadilan. Beliau menambah bahawa menolak kebenaran merupakan kerja
curang; dan “seandainya keadilan pupus dan dirampas, pemerintah
menjadi perompak besar”.
Hakim Ariffin Jaka diperhatikan cenderung melemparkan kata-kata
kesat san mudah sekali melenting , mengenepikan prasyarat Hakim
seperti yang disimpulkan oleh filasuf Socrates; iaitu:
“…mendengar dengan teliti, menjawab dengan bijaksana,
mempertimbang dengan tenang dan membuat keputusan secara saksama.”
Prasangka Hakim jelas tatkala saya mengemukakan pandangan
, di antara lain menukil pesanan Saidina Ali bin Abi Talib kepada
Gabenor Mesir, Malek Ashtar mengenai keadilan , beban pembuktian,
syarat dan peranan qadi atau hakim maksud saksi yang fasiq. Beliau
menepik menyatakan soal syariah, Mahkamah Syariah dan Prinsip Islam
tidak ada kaitan sama sekali dengan perbicaraan. Saya lantas menyampuk
menegaskan bahawa semua pengalaman perundangan dapat dimanfaatkan
dalam usaha mencari keadilan, termasuk kes Inggeris dan India Common
Law Inggeris serta pandangan pemikir Barat, mengapa pula harus diresahkan
sebaik dinukil pengalaman Islam?
Seharusnya kita merenung perintah Allah swt yang berfirman:
(maksudnya):
“Janganlah kebencian kamu terhadap suatu
golongan menjadikan kamu tidak adil”. (Al Maidah: 8 )
Atas pertimbangan fakta-fakta dan urutan peristiwa inilah,
maka saya enggan membuat kenyataan merayu ihsan Hakim meringankan
hukuman. Apabila undang-undang diremehkan, hujah kukuh dipinggirkan
ditambah dengan keyakinan saya bahawa skrip disediakan buat Hakim,
maka saya hanya berupaya menggunakan hak menyatakan pendirian. Hakim-Hakim
berikutnya menggunakan kenyataan tersebut untuk menegur saya tanpa
merujuk kepada intipati isu perundangan dan keadilan yang dikorbankan.
YAA
Tan Sri,
Sejak awal telah saya tegaskan bahawa saya tidak bersalah
dan menjadi mangsa percaturan politik penguasa. Dalam kemelut sebegini
yang melibatkan Perdana Menteri dengan kuasa mutlak , adalah sukar
untuk saya mimpikan proses keadilan biasa. Tempiasnya turut memalitkan
institusi atau badan kehakiman.. Perkara ini turut saya sentuh dalam
kedua-dua kenyataan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi dan berikutnya
di Mahkamah Persekutuan di hadapan Tun Dzaidin Abdullah, selaku
Ketua Hakim Negara ketika itu. Kemnculam Tun Dzaidin dikira menyegarkan
berikutan terhakisnya keyakinan awam terhadap badan kehakiman. Malah
beliau mengeluarkan kenyataan mengenai hasratnya memulihkan imej
badan kehakiman. Ia terbukti sebagai retorik kosong dan harapan
menyaksikan perubahan positif turut berkecai.
Pandangan saya yang lebih menyeluruh mengenai kegawatan dalam
badan kehakiman, terutama dipuncak, dipundak Jabatan Ketua Hakim
Negara ialah tatkala membuat permohonan agar Tun Eusoff Chin selaku
Ketua Hakim Negara ketika itu mengundurkan diri sebagai Hakim dalam
kes saya. Saya mengemukakan alasan kukuh mengenai tuduhan rasuah,
teguran hakim kanan, laporan Hakim Kanan kepada Perdana Menteri
serta laporan badan kehakiman antarabangsa. (Saya sertakan kenyataan
di Mahkamah Persekutuan bersama kenyataan lain di Mahkamah lain
sebelumnya secara berasingan untuk perhatian Tan Sri).
Saya memilih untuk menulis dan memohon pertimbangan Tan sri
kerana yakin dengan hasrat bersama mempertahankan prisip perlembagaan
, keluhuran undang-undang dan bahawa badan kehakiman merupakan
benteng keadilan terakhir. Ia memerlukan kecekalan dan iltizam
untuk memulihkan badan murni ini supaya bebas dan berwibawa. Dalam
suasana mendung yang lama menyelubungi sinaran keadilan, saya dengan
setulus hati sedar akan kerumitan memperolehi keadilan. Insyaallah,
dengan iklim yang berubah dan semangat kebebasan terserlah , kita
akan dapat menyaksikan perubahan yang lebih menyakinkan.
Adalah diharapkan beberapa permohonan bersabit tarikh ulang-bicara
, rayuan dan juga keputusan ikat jamin tidak dilengahkan.
Kesudian Tan Sri menimbangkan hasrat yang tertera dalam warkah
ini amat dihargai.
Terima
kasih.
Semoga
Allah swt memberikan kekuatan dan petunjuk.
Wasssalam……
Dengan
Ikhlas,
Anwar
Ibrahim
Salinan
kepada panel peguam
FURTHER
READING:
1.
Introduction to the Anwar Ibrahim Appeal Hearing
2.
FLASHBACK – The Kangaroo Court that tried and convicted Anwar
3.
Anwar Ibrahim Petition of Appeal, 6 October 2003
4.
The Anwar Ibrahim Trials: The implication of Section 402A
5.
Anwar Ibrahim's Affidavit to submit fresh evidence for his Judical
Review, 18 March 2003
6.
Anwar Ibrahim's Notice of Motion and Affidavit filed in the Kuala
Lumpur Federal Court, 9 August 2002
7.
THE WRITTEN JUDGMENT OF THE KUALA LUMPUR FEDERAL COURT, 10 July
2002
8.
Anwar Ibrahim’s reply to the Kuala Lumpur Federal Court’s judgment
upholding the guilty verdict and six-year jail sentence on four
counts of corruption, 10 July 2002
9.
Anwar Ibrahim’s Statement to the Court after Conviction and before
Sentencing, 8 August 2000
10.
Anwar Ibrahim's address during his appeal on the Judge's decision
to disallow the Defense from calling the Prime Minister to court
to testify at his second trial, 1 August 2000
11.
Anwar Ibrahim's statement to the court after he was found guilty
of corruption, 14 April 1999
12.
Anwar Ibrahim’s appeal hearing archives
Check
your voter registration here
|